♡Assalamualaikum♡
Kehidupan ini sentiasa diuji, bukan untuk disakiti atau bukan untuk membanggakan diri. Keadaan hidup ini tidak semudah pengiraan akal kerana percaturan hidup kita berada dalam genggaman tuhan. Inilah putaran perjuangan yang tidak pernah henti dan tetap akan ditempuhi oleh setiap insan. Hidup ini hanya sementara, segala yang dikecapi akan ditinggalkan. Pada usia yang semakin tersisa dan baki yang masih ada, maka jangan dipersia-siakan hidup ini.
Tidak semua manusia menghadapi tekanan apabila dihimpit resah tatkala terasa diri semacam tidak dihargai lagi. Sungguh betapa sukar untuk menerima hakikat ini hingga ada yang kecewa, sengsara dan derita. Memikirkan diri tidak dihargai lagi bukan sahaja gerak langkah yang kita aturkan semakin sumbang dan tak bermaya bahkan ia akan membunuh semangat diri kita. Hidup ini akan jadi tidak berkeyakinan, lalu sampai bila? Bukankah hidup ini terlalu singkat, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Ruginya hidup kita bila terlalu banyak bermain dengan perasaan, alpa serta khayal memikirkan sesuatu yang tidak mendatangkan hasil. Ramai manusia bila kecewa atau sengsara akan membawa hati yang lara terlalu jauh dari kehidupan ini. Duduk di dalam dunia ciptaan sendiri, walhal dunia itu hanya dunia angan-angan yang tidak wujud. Apa keberhasilan yang kita perolehi disebalik semua ini? Sedangkan alam yang diciptakan oleh Allah Ta'aala terlalu banyak nikmatnya untuk dinikmati. Tidak semestinya makan itu nikmat, minum itu nikmat, bercinta itu nikmat, kahwin itu nikmat, keluarga itu nikmat, bahkan seluruh isi alam ini terlalu penuh dengan kenikmatan yang tidak mampu kita hitung. Jadi, mengapa rasa diri tidak dihargai? Cuba renung diri kita, apakah kita tidak sedar bahawa kita punya harga diri? Kita punya kelebihan dalam diri kita, keunikan yang tidak mungkin ada pada orang lain.
Hari ini jika kita berasa kecewa dan menderita, padamkanlah dari kamus diri kira. Hargailah diri kita, tidak mengapa jika orang disekeliling kita atau orang yang kita sayang tidak menghargai kira asalkan kita sendiri punya harga diri. Pasakkan dalam hati kita, keyakinan dan pohonlah hidayah dari Allah, semoga terlimpah dalam jiwa. Mudah-mudahan bila kita membuka mata nanti, kita tidak akan lagi nampak keresahan, kekecewaan sebaliknya kekuatan, kesungguhan kita melangkah alam ini dengan penuh bertenaga. Ingat, dunia ini tidak akan berubah tetapi mata hati kita yang mulai berubah. Pandanglah ke hadapan bahawa kita punya matlamat untuk kita tempuhi. Kembara hidup kita masih jauh lagi, jauh bukan bererti alam ini atau kita hidup di penghujung usia. Tetapi alam seterusnya masih ada dan masih belum kita lalui. Dunia ini jambatan akhirat, maka persiapkanlah diri dan janganlah terlalu lama memandang hal-hal yang remeh dalam kehidupan ini. Gunakan segala setiap ruang dan kesempatan hidup kita serta manfaatkan usia yang Allah kurniakan untuk kita berbakti dan menabur jasa di alam ini. Jangan mengharapkan balasan tetapi ikhlaslah dalam perjuangan hidup ini. Masa tetap akan berjalan dengan begitu pantas sekali hingga kita tidak mampu memintas masa yang cepat berlari. Maka kejarlah kehidupan ini dengan matlamat yang jelas, teladan yang baik, pedoman yang lengkap dan jalan serta perjuangan yang mantap. Gunakanlah kesempatan ini selagi mana Allah tentukan buat kita sebelum kesempatan ini tertutup. Seorang ulama pernah berkata, "Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga".
Sebagai manusia biasa kita tidak boleh lari dari pelbagai masalah hidup. Tidak mengapa merasa derita atau kecewa kerana ia akan memberi pengajaran dalam hidup kita bahawa tidak ada tempat yang dapat mengubat segala ini melainkan kepada Allah segala penawarnya.
No comments:
Post a Comment
♡Assalamualaikum♡
Sila tinggalkan komen anda di sini..