Sayang,izinkan abang kahwin satu lagi!!!

♡Assalamualaikum♡

"Sayang,izinkan abg nikah sorang lagi". Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian berganjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam tv, sementelah tv juga dipasang. Tapi, ahh.....bukanlah. Tv sedang menayangkan iklan sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan sunsilk??

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia. Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan Pembantu Tadbir Kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf dengan gaji kau, aku rasa kau mampu bagi makan dua keluarga", sokong Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis", masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat Subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Aduhai....penangan Qis, gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang, Aliyah setuju dengan permintaan abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita itu", lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Hendak dipengapa-apakankah buah hatinya it? Namun, tanpa sedar dia mengangguk tanda setuju. Sebab dia yakin, isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan, hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamat perang dunia meletuslah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang isteri -isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman dari Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri abang?", terjegil mata Qis yang berwarna hijau.

"Kak Aliyah yang minta", masih lembut dia memujuk Qis.

" Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis. Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis". Terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya, abang faham".

Qistina mengalihkan pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri permata membuli isteri kedua. Hah...ini Qistinalah. Jangan harap jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dia cuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah mengatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan diri dengan aktiviti keagamaan di Masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia bersama Aliyah dan anak-anaknya berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri kuliah agama. Membaca al-Quran secara bertaranum itu. adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya. Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit..tit...sms menjengah masuk ke kantung inbox handsetnya.

"Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik untuk abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat Kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama abang".

Dibawah handsetnya ada sekeping sampul besar.

Kepada : Asraf Mukmin. Suami yang tersayang.

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.

Selam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana abang membawakan seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini, Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

  1. Dengan ukuran badan ala-ala model memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tak sanggup abang diheret ke Neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa abang sendiripun masih belum termampu untuk di jawab di Akhirat sana, apatah lagi abang nak menggalas dosa orang lain. Aliyah sayangkan abang.
  2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak apatah lagi Western Food. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tahu selera abang hanya pada lauk pauk kampung, Tapi, tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga seinggah di restoran western food. Abang muntahkan semua makanan western tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan abang.
  3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yalah, nanti dia akan menjadi imam untuk anak-anak abang yang bakal lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau sendiripun kelam kabut memakai telekung. Hmmmm... Aliyah sayangkan abang.
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu-persatu, Aliyah tak terdaya. Abang lebih memahaminya. Ini penilaian selama satu hari. Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik. Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan ke Sarawak. Jika munajat abang di Masjid Putra mengiakan tindakan abang, ambillah borang ini dan pergilah kepada Qisitna. Oh ya, sebelum terlupa, Qistina telah berada di Sarawak menunggu abang. Aliyah sayangkan abang.

Tetapi, jika abang merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk menjadi isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah. Aliyah sayangkan abang.

Tetapi, jika abang merasakan Aliyah isteri yang hebat untuk abang... tolonglah bukakan pintu bilik ini. Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai....air tangan Aliyah.

Salam sayang...
Aliyah Najlah Binti Mohd Hazery

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najlah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum.

Benar, tiada isteri sehebat isterinya, ALIYAH.....






No comments:

Post a Comment

♡Assalamualaikum♡
Sila tinggalkan komen anda di sini..