Ketahui jenis SAHABAT yang patut dijauhi
Tidak ada angin, tiba-tiba teman karib anda berubah sikap. Panggilan telefon anda tidak dijawab, SMS atau whats app juga tidak menerima sebarang reaksi, malah akaun facebook anda juga sudah diblocked oleh sahabat anda itu.
Jika dahulu, anda menjadi orang yang pertama yang dihubungi untuk berkongsi cerita suka dan duka tetapi kini tidak lagi sehinggakan anda merasakan benar-benar terasing dan jauh daripada sahabat anda itu.
Sekiranya anda berhadapan dengan situasi seperti ini, bertindaklah segera kerana ini merupakan isyarat bahawa teman anda itu bukanlah sahabat sejati dan sekali gus sudah tidak memerlukan anda lagi. Anda dapat mengagak perubahan ini sekiranya...
SAHABAT SERING MENGAIBKAN ANDA
Sejak kebelakangan ini, anda sering mendengar cerita-cerita kurang enak berkenaan diri anda daripada sahabat-sahabat di sekeliling anda. Anda sendiri hairan bagaimana cerita yang boleh mengaibkan anda itu mula menjadi buah mulut dalam kalangan rakan anda, sedangkan anda tidak pernah membuka mulut kepada orang lain kecuali dia, sahabat karib yang anda percayai.
Kini, barulah anda mengerti makna sebenar sebuah persahabatan. Apakah yang perlu anda lakukan? Untuk apa ditunggu lagi kerana anda tidak perlu berbuat baik pada rakan seperti ini!
MERAMPAS PASANGAN ANDA
Anda dan dia (rakan karib anda) sudah lama menjalinkan persahabatan. Segala suka duka telah anda dan dia kongsi bersama. Masih jelas di ingatan bagaimana dia mengalirkan air mata dan mengadu kepada anda saat ditinggalkan oleh pasangan. Enggan membiarkan sahabat anda itu melalui fasa-fasa duka bersendirian, anda tidak pernah berkira untuk dia berkunjung ke kediaman anda pada bila-bila masa.
Namun kepercayaan yang anda berikan itu telah disalahgunakan oleh sahabat karib anda itu. Dalam diam, rupanya dia bermain "mata" dengan pasangan anda. Lebih menyayat hati apabila pasangan anda turut menunjukkan respons yang positif terhadap "godaan"sahabat anda.
Anda harus bijak membuat pilihan sama ada ingin menyelamatkan rumah tangga anda atau masih 'berharap' agar sahabat anda itu melupakan niatnya untuk bermain mata dengan pasangan anda? Bagi sesetengah pendapat, lebih baik hilang kawan daripada hilang pasangan. Namun ada juga sebaliknya? Pilihan di tangan masing-masing.
TINGGAL BERJAUHAN DARIPADA ANDA
Sejak lapan bulan lalu, sahabat karib anda telah berpindah ke luar negara kerana mengikut pasangannya. Di peringkat awal, dia dan anda saling berhubungan menerusi e-mel, telefon dan sebagainya. Tetapi sejak akhir-akhir ini, dia kian menyepikan diri.
Jika dirujuk buku The Intensity of A Relationship, seseorang sahabat yang baik bukan sahaja memerlukan perhatian tetapi juga kehadirannya. Secara tidak langsung, ia memberitahu betapa sukar mempertahankan ikatan persahabatan jika anda dan sahabat terus berjauhan.
5 cara cari SAHABAT sesuai
HARGAI YANG TERBAIK
Teman yang baik seharusnya low maintenance dan begitu juga sebaliknya. Sering berjumpa akan membuatkan hubungan sedia ada akan berterusan. Tetapi elakkan meminta secara berlebihan bagi mengelakkan hubungan tersebut menjadi tidak seimbang.
MAMPU MENGGEMBIRAKAN
Kebanyakkan daripada kita ingin bertemu dengan individu yang mampu menggembirakan diri. Tetapi ini tidak bermakna anda perlu menjadi seorang yang sentiasa ketawa dan gembira sepanjang masa. Ia lebih kepada keikhlasan hati dan tidak keterlaluan.
TIDAK BERSIKAP TERLALU MEMAKSA
Sesetengah orang mempunyai rakan yang mudah dikawal, tetapi hakikatnya tidak semua begitu. Ada kawan memerlukan masa untuk mengenali diri anda dengan lebih dekat. Jadi anda tidak perlu terburu-buru dan terlalu mengharap merekan akan hadir dalam setiap undangan anda. Hal ini kerana anda perlu menghormati mereka kerana mereka juga mempunyai komitmen lain seperti keluarga dan kerjaya.
BERTERUS TERANG
Jika persahabatan yang dibina tidak lagi diperlukan, lebih baik untuk anda melupakannya sahaja. Jika mereka melukakan hati anda, berterus teranglah dan katakan bahawa anda tidak memerlukan rakan sebegitu. Kebanyakan orang akan memberi isyarat jika mereka merasakan seseorang itu tidak lagi diperlukan. Jadi, jika anda merasakan diri anda tidak diperlukan begitu, tinggalkan sahaja mereka.
TELUS DALAM BERSAHABAT
Jika tidak mahu berterus-terang, anda harus memberi isyarat kepada rakan anda itu. Contohnya, jika anda tidak dapat berbual atau meluangkan masa bertemu dengannya, maklumkan kepada sahabat anda itu alasan mengapa anda tidak boleh berjumpa dengannya. Namun carilah ayat atau perkataan yang baik agar dia tidak tersinggung dengan kata-kata anda.
Umar Bin Abdul Aziz berkata : "Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau."
No comments:
Post a Comment
♡Assalamualaikum♡
Sila tinggalkan komen anda di sini..